Assalamualaikum
Warahmatullahhi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Saya bersyukur ke hadrat Allah
S.W.T. kerana buat pertama kalinya saya berpeluang untuk melakar coretan dalam
blog sekolah SMK Kiaramas, Kuala Lumpur. Kepada para pendidik dan murid-murid
yang saya kasihi, semoga kita semua berada di bawah naungan- Nya dan dapat
mengharungi arus pendidikan yang kian pesat dalam era Revolusi 4.0.
Syukur ke
hadrat Illahi kerana SMK Kiaramas berjaya membangunkan blog sekolah yang begitu
bermakna kepada warga sekolah. Saya ingin mengambil kesempatan untuk
mengucapkan setinggi – tinggi tahniah dan terima kasih kepada JK Blog Sekolah
serta semua pihak yang memberikan kerjasama sehingga blog sekolah ini dapat
dihasikan dan ditatap oleh semua pihak.
Penerbitan
blog sekolah ini juga menterjemahkan visi dan misi yang berlandaskan Dasar
Pendidikan Negara. Segala potensi murid, guru dan warga sekolah diadunkan untuk
merealisasikan hasrat sebagai mana yang digariskan dalam Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, iaitu melahirkan sumber manusia yang
berdaya saing di peringkat global dengan tidak meminggirkan nilai-nilai etika
agama dan budaya.
Sebagai
sebuah sekolah yang mempunyai cita-cita besar untuk menempa nama di persada
negara dan dunia pendidikan, penggemblengan tenaga dan usaha daripada warga
sekolah amat diharapkan agar pendidikan berkualiti demi meningkatkan
kecemerlangan sekolah melalui pengurusan sekolah yang cekap dan efisien dapat
dicapai.
Warga
sekolah SMK Kiaramas sentiasa berusaha untuk menjadikan institusi sekolah
sebagai tempat untuk mencanai minda yang bersifat akademik dan koakademik.
Usaha-usaha ini dapat dicapai melalui pelaksanaan Pembelajaran Abad ke-21 yang
menjadi amalan kepada pendidik di sekolah ini khususnya dan negara kita amnya.
Kemenjadian murid secara holistik dan sekolah berkualiti juga menjadi hala tuju
sekolah yang merupakan sekolah TS25 Kohort 1 (2015-2018).
Sama-samalah
kita menjalankan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan penuh keikhlasan.
Mudah-mudahan usaha ini diberkati oleh Allah S.W.T dan menjadi satu ibadah yang
akan kita kecapi pada kemudian hari. Insya-Allah.
Sekian,
terima kasih.
‘BERKHIDMAT UNTUK NEGARA’
Saya yang menjalankan amanah,
DAHANUM BINTI SOYONO
PENGETUA SMK KIARAMAS
KUALA LUMPUR
No comments:
Post a Comment